Thursday, January 28, 2010

Lima fakta

PERTINGKATKAN kualiti kesihatan anda dengan lima fakta kesihatan paparan Kosmo! pada minggu ini untuk kebahagiaan anda sekeluarga.
Matahari jauhkan kanser kolorektal
PESAKIT yang mempunyai paras vitamin D tinggi di dalam darah mereka adalah 40 peratus lebih rendah mendapat kanser kolorektal.
Vitamin D yang biasa diperoleh daripada sinaran matahari juga boleh ditemui di dalam makanan. Ia memainkan peranan utama untuk menguatkan tulang dengan meningkatkan kandungan kalsium di dalam darah.



Kajian bertajuk Penyelidikan Prospektif Ke Atas Kanser Eropah (EPIC) itu telah dijalankan di 10 buah negara Eropah Barat.
Para penyelidik bagaimanapun gagal mengesahkan sama ada suplemen vitamin D adalah jauh lebih efektif berbanding diet yang seimbang dan pendedahan kepada sinar matahari.
Obesiti, merokok, pengambilan alkohol dan makanan yang sudah diproses serta gaya hidup kurang sihat adalah antara faktor penyebab kanser rektum dan kolon. - British Medical Journal (BMJ)
Bergaduh kerana masalah keluarga
PADA tahun lalu, hampir 27 peratus daripada anak gadis dalam lingkungan usia 12 hingga 17 tahun didapati terlibat dalam pergaduhan serius. Pendedahan mengejutkan itu dibuat oleh Pentadbiran Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Penyalahgunaan Bahan (SAMHSA), Amerika Syarikat (AS).
Pentadbir SAMHSA, Pamela S. Hyde berkata, gadis-gadis yang berisiko perlu dibantu dan dididik tentang cara menyelesaikan masalah tanpa mengambil langkah keganasan.



Kajian yang dijalankan dari tahun 2006 sehingga 2008 itu telah menerima maklum balas daripada sejumlah 33,091 orang gadis. Sekitar 19 peratus daripada sejumlah 27 peratus golongan gadis itu didapati cenderung terlibat dalam pergaduhan serius di tempat kerja mahupun sekolah.
Golongan gadis yang mudah terlibat dalam keganasan ini adalah mereka yang berasal daripada keluarga berpendapatan tinggi, lebih terpelajar dan tidak mengambil minuman beralkohol atau dadah. – HealthDay
Ubat titis lebih berkesan
UBAT antibiotik atau ubat titis antiseptik merupakan pendekatan terbaik untuk melegakan masalah keradangan telinga yang biasa dialami seseorang perenang. Masalah telinga perenang itu dikenali sebagai acute otitis externa.
Ubat titis telah menjadi kaedah rawatan utama sejak lima dekad lalu. Ia sekali gus membuktikan bahawa pengambilan ubat antibiotik secara oral bukan satu keperluan.



Menurut satu kajian oleh golongan penyelidik dari Hospital Stepping Hill di Stockport, Britain, penggunaan ubat titisan antiseptik, sama ada disertai atau tanpa steroid, boleh memberi kesan positif.
Buktinya, sekitar 55 hingga 100 peratus kadar penyembuhan masalah telinga perenang telah direkodkan berbanding rawatan menggunakan plasebo.
Seorang pakar otolaringologi, Dr. Richard Rosenfeld berkata, golongan yang berisiko seperti perenang disarankan menggunakan penutup telinga atau penutup kepala sewaktu berenang. – The Cochrane Library 2010.
Rawatan gagal kurangkan risiko HIV/AIDS



SEJENIS rawatan untuk virus herpes yang digunakan secara meluas tidak mampu mengurangkan risiko penyebaran HIV/AIDS.
Satu kajian ke atas sejumlah 3,400 pasangan warga Afrika (bagi setiap pasangan, salah seorang daripadanya mempunyai HIV) telah dijalankan selama lima tahun. Hasilnya, pengambilan dos ubat acyclovir sebanyak dua kali sehari didapati tidak mengurangkan kadar penyebaran virus maut itu.
Sebanyak 41 jangkitan dikesan pada pasangan walaupun mereka mengambil ubat acyclovir manakala 43 jangkitan pula berlaku ke atas pasangan yang diberi plasebo. Kira-kira 90 peratus pesakit HIV didapati mempunyai jangkitan HSV-2. - New England Journal of Medicine
Belum terlambat untuk berhenti merokok
SEDARKAH anda bahawa menghentikan tabiat buruk merokok biarpun selepas didiagnosis dengan kanser paru-paru masih menjanjikan peluang hidup untuk golongan perokok?
Buktinya, kira-kira 63 hingga 70 peratus perokok yang menghentikan tabiat itu setelah didiagnosis, masih hidup selepas tempoh lima tahun.



Kajian susulan ke atas 10 hasil penyelidikan tentang tabiat merokok dan survival kanser itu telah dijalankan oleh saintis-saintis dari Universiti Birmingham, Britain.
Kaitan antara kanser paru-paru dan tabiat merokok telah diperakui sejak setengah abad yang lalu. Satu kajian pada tahun 2003 mendedahkan golongan perokok tegar adalah 20 kali ganda lebih berisiko mendapat tumor paru-paru berbanding mereka yang tidak merokok. – British Medical Journal (BMJ)

No comments:

Post a Comment