Wednesday, January 20, 2010

Giliran Tevez ejek Neville




LONDON - Selepas dihina Gary Neville, semalam giliran penyerang Manchester City, Carlos Tevez (gambar) pula yang seakan-akan mahu mengejek tonggak pertahanan Manchester United itu.
Isnin lalu, Neville secara terbuka berkata, pengurus Manchester United, Alex Ferguson telah membuat keputusan tepat apabila menolak tawaran untuk membeli Tevez dengan harga £25 juta (RM136.9 juta).
Bagaimanapun, Tevez seolah-olah mahu membuktikan kenyataan Neville itu salah apabila dia meledak dua gol bagi membantu City membenam Manchester United 2-1 pada aksi separuh akhir pertama Piala Liga awal pagi semalam.
Selepas meledak gol pertama pada minit ke-42, bekas penyerang United itu dilihat menunjukkan tanda isyarat diam kepada Neville. Sejurus kemudian, Neville pula dilihat menunjukkan isyarat lucah kepada Tevez.
Jaringan kedua Tevez pada minit ke-65 menyaksikan dia berlari di hadapan barisan pemain simpanan United sambil meletakkan kedua-dua belah tangannya di bahagian telinga.
"Ia sesuatu yang cukup istimewa bagi saya kerana dapat menjaringkan dua gol. Semua ini adalah hadiah untuk penyokong City," kata Tevez.
Dalam pada itu, Neville kini disiasat oleh Persatuan Bola Sepak (FA) England ekoran tindakannya yang menunjukkan isyarat lucah kepada Tevez. - Agensi

No comments:

Post a Comment